Monday, 11 January 2021

Teori-teori kecerdasan emosi

1.1.1       Teori-teori kecerdasan emosi

Terdapat pelbagai teori dijalankan bagi meningkatkan aspek kecerdasan emosi sejak bertahun-tahun. Antaranya ialah Teori Mayer Salovey (1999), Bar On (2000), Goleman (2002), dan Goleman-Noriah (2004). 

 

1.1.1.1  Teori Kecerdasan Emosi Mayer, Caruso dan Salovey(1999)

     Mayer, Caruso dan Salovey (1999) mengemukakan bahawa kecerdasan emosi terdiri daripada empat domain iaitu kebolehan membuat persepsi tentang emosi (emotional perception) iaitu kebolehan menerima, menilai dan juga menunjukan emosi dengan tepat, penyesuaian emosi (emotional facilitation of thought), memahami emosi (undestanding of emotion) bermaksud kebolehan memahami sesuatu emosi dan maklumat yang dibawa, dan mengawal emosi (managing emotion) iaitu mengawal emosi untuk meningkatkan perkembangan emosi dan intelek. Mayer et al menyatakan bahawa kecerdasan emosi boleh bertambah apabila umur dan pengalaman bertambah.  

Menurut Weisenger (1998), keempat komponen asas kecerdasan emosi di atas telah dikenal pasti oleh dua ahli psikologi Mayer (University of New Hampshire) dan Salovey (Yale) yang mencipta istilah emotional intelligence. Empat komponen tersebut ialah, kebolehan menerima, menilai dan menunjukkan emosi dengan tepat, kebolehan mempamerkan perasaan bila diperlukan, yang mana individu dapat memahami diri sendiri dan orang lain, kebolehan memahami sesuatu emosi dan maklumat yang dibawa dan kebolehan mengawal emosi untuk meningkatkan perkembangan emosi dan intelek. Beliau menyatakan setiap komponen mewakili kemampuan tertentu jika digabungkan akan membentuk kecerdasan emosi. Komponen ini tersusun dalam bentuk hierarki serta komponen yang berada pada bahagian atas hirarki adalah gabungan daripada komponen-komponen yang berada pada hierarki bahagian bawah. 

1.1.1.2  Teori Kecerdasan Emosi Bar-On

Bar-On (2000) mengemukakan bahawa terdapat lima domain kecerdasan emosi iaitu Intrapersonal kecerdasan emosi, merupakan kemampuan untuk mengenal dan mengendalikan diri sendiri. Kedua ialah interpersonal kecerdasan emosi iaitu kemampuan invidu untuk bergaul dan beriteraksi dengan orang lain. Ketiga ialah pengurusan stress kecerdasan emosi iaitu kemampuan untuk sentiasa bertahan dalam menghadapi stres dan mengendalikan impuls, kemampuan untuk sesalu tenang serta konsentrasi. Keempat penyesuaian kecerdasan emosi iaitu keupayaan individu untuk menyesuaian emosi mereka dengan pelbagai keadaan dan kelima ialah mood umum kecerdasan emosi iaitu kemampuan untuk mempertahankan sifat positif yang realistik terutama sekali ketika berhadapan dengan masa-masa sukar dan kritikal, mampu mensyukuri kehidupan, menyukai diri sendiri dan orang lain, selalu bersemangat serta ghairah dalam melakukan sebarang kegiatan. 

Bar-On cuba mengemukakan sub-sub domain bagi setiap domain yang beliau kemukakan. Intrapersonal kecerdasan emosi terdiri daripada beberapa subdomain iaitu  penjagaan diri (self-regard), kesedaran emosi, asertif, berdikari dan peningkatan diri (self-actualization). Interpersonal kecerdasan emosi terdiri daripada tiga subdomain iaitu empati, tanggungjawab sosial dan hubungan interpersonal. Pengurusan stres kecerdasan emosi mengandungi dua sub domain iaitu toleransi stres (stress tolerance) dan pengawalan dorongan (impulse control). Penyesuaian kecerdasan emosi pula terdapat tiga subdomain iaitu ujian realiti, fleksibiliti dan penyelesaian masalah. Sedangkan mood umum kecerdasan emosi mengandungi dua subdomain iaitu optimis dan kegembiraan.  

Definisi bagi setiap subdomain di atas adalah seperti penjagaan diri iaitu kebolehan untuk sedar, faham, menerima dan menghormati diri. Kedua ialah kesedaran emosi iaitu kebolehan mengenal pasti dan memahami emosi sendiri. Asertif pula merupakan kebolehan menyatakan perasaan, kepercayaan, pemikiran dan mempertahankan hak diri secara aman. Manakala berdikari ialah kebolehan melakukan sesuatu tanpa diperintah dan boleh mengawal pemikiran dan tindakan tanpa terpengaruh dengan emosi. Selain itu, peningkatan diri pula adalah kebolehan mengetahui potensi diri sendiri dan melakukan sesuatu yang disukai. Empati pula ialah kebolehan menyedari, memahami dan menghargai perasaan orang lain. 

Bagi tanggungjawab sosial pula ialah kebolehan menonjolkan diri sebagai seorang yang kooperatif dan memberi sumbangan kepada kumpulan manakala hubungan interpersonal pula ialah kebolehan membina dan menjaga hubungan mesra berdasarkan keintiman dan memberi dan menerima kasih sayang. Toleransi stress pula ialah kebolehan menghadapi situasi gawat dan intensiti emosi yang tinggi tanpa terjejas manakala pengawalan dorongan pula ialah kebolehan mengawal dan menunda dorongan atau perasaan ingin bertindak serta mengawal emosi. Bagi ujian realiti, ia merupakan kebolehan menilai apa yang dirasai dengan apa yang sebenarnya berlaku. Manakala fleksibiliti pula ialah kebolehan menyesuaikan perasaan, pemikiran dan tingkah laku mengikut situasi. 

Selain itu, penyelesaian masalah adalah kebolehan mengenal pasti dan mentakrif masalah peribadi dan masalah sosial seterusnya menjana dan melaksanakan penyelesaian yang efektif, manakala optimis pula ialah kebolehan melihat daripada sudut positif dan mengekalkan sifat positif walaupun dalam situasi sukar; dan (xv) kegembiraan- kebolehan merasakan kepuasan hidup, menikmati hidup memperlihatkan emosi positif. 

1.1.1.3  Teori Kecerdasan Emosi Goleman (1999)

Sebelum mempopularkan konsep kecerdasan emosi, Goleman, Boyatzis & Annie Mckee (2002) telah cuba menjalankan satu kajian dan menganalisis lebih kurang 500 model kecerdasan emosi daripada beberapa syarikat yang bertaraf antarabangsa. Syarikat-syarikat dimaksudkan adalah seperti IBM, Lucent, PepsiCo, British Airways dan Credit Suisse First Boston serta organisasi-organisasi pelayanan kesihatan, institusi akademik, institusi-institusi kerajaan bahkan juga organisasi-organisasi keagamaan. Bagi menentukan kecerdasan emosi yang dominan dalam menentukan kejayaan seseorang, mereka cuba mengelompokkan kepada tiga kategori utama, iaitu keterampilan teknikal tulen, seperti perakaunan dan perencanaan keusahawanan, kemampuan kognitif, seperti pemikiran yang kritis dan analitik, sifat-sifat yang menunjukkan kecerdasan emosi, seperti kesedaran dan kemahiran bersosialisasi.  

Untuk menciptakan beberapa model kecerdasan emosi itu, mereka telah berusaha menjalankan kajian melalui “expert interview” ke atas pemimpin-pemimpin syarikat besar di Amerika. Kajian tersebut dijalankan adalah untuk mengenalpasti kecerdasan emosi yang paling menonjol dalam kalangan pemimpin-pemimpin syarikat berkenaan (Goleman, Boyatzis & Annie Mckee 2002). Dari pelbagai cara yang digunakan, mereka telah berjaya mengeluarkan beberapa senarai kompetensi yang menjadikan seseorang sebagai pemimpin yang efektif. Antara kompetensi yang paling menonjol ialah inisiatif, kerjasama (collaboration) dan empati (Goleman, Boyatzis & Annie Mckee, 2002). 

Dari pelbagai analisis yang mereka jalankan, sama ada keterampilan-keterampilan kognitif ataupun keterampilan-keterampilan teknikal, didapati kompetensi yang berasaskan kecerdasan emosi lebih berperanan bahkan dianggap lebih penting dalam menjayakan sesebuah organisasi (Goleman, Boyatzis & Annie Mckee, 2002). Sehingga Goleman et al juga menyatakan bahawa semakin tinggi tingkat organisasi yang dipimpin oleh seseorang maka semakin tinggi pula keperluanya terhadap kecerdasan emosi. Beliau mengatakan perbandingan yang tepat antara kecerdasan emosi dan kecerdasan intelek, sangat bergantung pada bagaimana kedua-duanya itu diukur. 

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan hasil kajian yang dijalankan, mendapati bahawa kecerdasan emosi telah menyumbang 80 sampai 90 peratus ke atas kejayaan sesebuah organisasi. Kompetensi kognitif tulen, seperti keterampilan teknikal, keterampilan spesifik hanya mampu menghantarkan seseorang pada paras kualiti kerja normal, berbanding dengan individu yang memiliki kecerdasan emosi tinggi. 

Goleman (1999) memberikan konsep tentang kecerdasan emosi iaitu kemampuan mengenali perasaan sendiri dan juga perasaan orang lain, kemampuan memotivasi diri sendiri dan kemampuan mengelola emosi sendiri dengan baik serta kebolehan membina hubungan dengan individu lain. Goleman (1999) juga menyatakan bahawa seseorang yang tidak mempunyai keupayaan mengawal emosi, agak sukar untuk berinteraksi dengan orang lain, dan tidak mampu untuk menjalankan pekerjaan yang digelutinya dengan baik. Mereka boleh digolongkan sebagai individu yang kurang berjaya di dalam kerjaya yang diceburinya. Peristiwa-peristiwa cetusan emosi yang berlaku saat ini, terutama di tempat kerja, membawa kesan kepada tahap kestabilan dan kematangan emosi individu berkenaan (Goleman 1999). Beliau juga menyatakan bahawa kecerdasan emosi adalah satu yang diperlukan oleh seseorang untuk berjaya dalam kerjaya yang digelutinya. Goleman (1995) telah mengemukakan satu idea untuk menerangkan beberapa domain yang mempengaruhi kecerdasan emosi seseorang. Beliau cuba menerangkan penyebab kegagalan dan keberhasilan seseorang dalam kehidupan peribadi dan profesion masing-masing daripada perspektif kecerdasan emosi. 

Menurut Goleman (1999), kecerdasan emosi terbahagi kepada dua kecekapan iaitu kecekapan peribadi dan kecekapan sosial. Kedua-dua kecekapan itu membolehkan seseorang mengawal diri sendiri dan berinteraksi dengan baik di tengahtengah masyarakat. Beliau telah mengenal pasti lima domain kecerdasan emosi iaitu kesedaran kendiri (self awareness), kawalan kendiri (self regulation), motivasi kendiri (self motivation), empati (empathy) dan kemahiran sosial (sosial skills). Beliau juga berpendapat bahawa kecerdasan ini boleh meningkat seiring dengan bertambahnya usia dan pengalaman seseorang, kecerdasan ini juga boleh dipelajari bagi sesiapa sahaja yang mahu mempelajari sepanjang hayatnya.   

Goleman cuba memberikan penerangan tentang kepentingan bagi setiap domaian yang dicadangkan.  Kesedaran kendiri merupakan domain asas atau prasyarat yang perlu ada sebelum kewujudan domain-domain yang lain di dalam kecerdasan emosi. Kawalan kendiri dapat menentukan bentuk respons atau tindak balas yang dizahirkan oleh seseorang dalam sesuatu keadaan. Motivasi kendiri merupakan pendorong bagi seseorang untuk mencapai sebarang matlamat yang diimpikan. Empati membolehkan seseorang untuk memahami emosi atau perasaan orang lain sama ada marah, sedih, benci dan sebagainya. Kemampuan ini sangat penting dalam membentuk hubungan yang lebih akrab dengan individu-individu lain di dalam sesebuah organisasi ataupun masyarakat. Tanpa kemahiran ini, maka domain yang kelima iaitu kemahiran bersosial dalam sukar dicapai. Rajah 2.1 menunjukan model kecerdasan emosi yang dikemukakan oleh Goleman (1999). 

Rajah 2.1 Teori Kecerdasan emosi Goleman (1999)

 

1.1.1.4  Teori kecerdasan emosi Goleman-Noriah (2004)

Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, inventori hasil daripada model Kecerdasan Emosi Goleman-Noriah telah dibina oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memenangi anugerah Seoul International Innovation Fair (SIFF) 2004 dan Pingat Emas diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Secara umumnya inventori ini boleh memberikan gambaran kepada seseorang tentang tahap kepintaran emosi (EQ) mereka.

Noriahdan beberapa orang penyelidik telah membina instrumen ini daripada tahun 2002, dan telah mengalami beberapa kali semakan, sehingga tahun 2007. Instrumen berkenaan dimulakan dalam bentuk kertas dan pensil dengan jumlah item yang agak banyak (263 item), dan setelah mengalami beberapa kali revisi akhirnya jumlah item telah berkurang menjadi 182 item serta tersedia dalam dua pilihan, iaitu dalam bentuk kertas dan pensil dan di atas talian yang boleh dijawab secara online. Sehingga sekarang instrumen ini telah diterjemahkan ke dalam lima bahasa, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, Bahasa Korea, bahasa Arab dan bahasa Indonesia. Termasuk bahasa Melayu, maknanya instrumen tersebut telah tersedia dalam enam bahasa.  

Instrumen ini telah dinilai di peringkat Universiti, peringkat kebangsaan dan beberapa kali di peringkat antarabangsa. Hasil penilaian tersebut, masing-masing memperolehi pingat emas di peringkat Universiti tahun 2004, pingat perak di peringkat kebangsaan tahun 2005, mendapat anugerah hasil penyelidikan terbaik kategori sains sosial di peringkat antarabangsa di Seoul Korea Selatan pada tahun 2006, dan memperolehi pingat perak pada pertandingan hasil penyelidikan peringkat antarabangsa (ITEX) di Kuala Lumpur pada tahun 2008. 

Instrumen ini juga telah dipamerkan oleh UKM sebagai hasil inovasi penyelidikan yang memiliki nilai komersial yang tinggi pada tahun 2008 di Geneva dan April 2009 di Jerman.  Instrumen tersebut telah dibangunkan melalui peruntukan projek IRPA (International Research Priority Area) yang ditaja oleh Kementerian Alam Sekitar Malaysia pada tahun 2002. Kajian awal pembinaan instrumen berkenaan diasaskan kepada konsep kecerdasan emosi yang dicadangkan oleh Goleman (1995) yang mengandungi lima domain kecerdasan emosi iaitu, kesedaran kendirikawalan kendirimotivasi kendiriempati dan kemahiran sosial. Bagaimanapun setelah kajian dijalankan kepada seluruh penjawat Awam di Malaysia, seperti polis, pegawai penjara, pegawai imegresyen dan juru rawat, dapatan kajian menunjukkan wujudnya penambahan dua domain kecerdasan emosi baru yang dinyatakan oleh masyarakat tempatan, iaitu kerohanian dan kematangan. Maka pembinaan instrumen kecerdasan emosi tersebut telah dibuat berdasarkan tujuh domain kecerdasan emosi mengikut konteks tempatan.  

Selari dengan beberapa kajian sebelum ini (Noriah 2004; Syafrimen 2004; Syed Najmuddin 2005; Rorlinda 2008 dan Wan Ashibah 2004), yang melihat bahawa model ini selari dengan konteks budaya tempatan. Dalam bidang pendidikan, model ini juga selari dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang juga menyentuh aspek emosi, sekaligus aspek kerohanian yang menjadi ciri utama masyarakat tempatan. Justeru, pembinaan modul EQ yang diasaskan kepada FPN dan model kecerdasan emosi tersebut dapat memberikan satu pencerahan dan nuansa baru kepada guru-guru supaya dapat melihat lebih jelas lagi hasrat FPN dalam memandu hala tuju pendidikan di negara ini.

 

Instrumen Kecerdasan Emosi Goleman-Noriah (2004) mengandungi tujuh domain iaitu kesedaran diri, kemampuan mengendalikan diri, empati, motivasi, kesedaran sosial, kerohanian dan kematangan. Pada mulanya, teori ini diperkenalkan oleh Goleman pada tahun 1999 yang meliputi domain kesedaran diri, kemampuan mengendalikan diri, empati, motivasi dan kesedaran sosial. Walaubagaimanapun, setelah penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneliti semula, ia ditambah dua lagi domain iaitu kematangan dan kerohanian untuk disesuaikan pada budaya dan kehendak masyarakat di Malaysia.

Rajah 2.2 Model Kecerdasan Emosi Goleman-Noriah (2004)

 

Walaubagaimanapun, penambahan dua domain daripada konsep Kecerdasan Emosi dilakukan oleh pakar tempatan iaitu Noriah Mohd. Ishak, (2002 hingga 2004). Konsep kecerdasan emosi yang dikemukakan oleh Goleman tersebut dilengkapi dengan dua domain baru yang sangat berperanan dalam meningkatkan kecerdasan emosi individu tempatan. Dua domain tersebut adalah kerohanian (spirituality) dan kematangan (maturity). Kedua domain tersebut sesuai dengan budaya tempatan. Konsep ini diistilahkan dengan konsep “EQ Goleman-Noriah (2004)”. Penerangan tentang tujuh domain yang terdapat di dalam konsep tersebut adalah seperti berikut:

(a)           Kesedaran diri

Kesedaran diri adalah kebolehan untuk mengiktiraf emosi sendiri dan peka kepada hubungan di antara pemikiran, perasaan dan juga tingkahlaku dan merujuk kepada kebolehan memantau dan mengiktiraf perasaan diri (Goleman, 1999); serta kemampuan mengenal emosi sendiri dengan lebih cepat dan berkemahiran memberi respon yang tepat terhadap emosi mereka (Salovey & Mayer, 1990).

Dalam kajian ini, kesedaran diri adalah merujuk kepada penentuan sejauh mana individu itu menyedari dan mengetahui perasaan sendiri dalam sesuatu keadaan serta dapat memilih keutamaan dalam mengambil tindakan. Selain itu, kesedaran terhadap diri sendiri juga merupakan kemampuan individu untuk mengetahui perasaan sendiri, mampu menilai kekuatan dan kelemahan diri dan sedar dengan niat dalam diri. Domain ini merupakan asas atau prasyarat yang perlu ada sebelum domain-domain yang lain iaitu kemampuan mengendalikan diri, motivasi, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan. 

Pemimpin yang mempunyai kesedaran diri akan lebih berhati-hati terhadap emosinya dan kesan emosinya terhadap orang lain (Mayer dan Salovey, 1997); serta lebih berjaya mengawal hubungannya dengan orang lain (Sosik & Megerian, 1999); malah lebih peka terhadap subordinatnya (Mayer dan Geher, 1996; Sosik & Megerian, 1999). Pemimpin yang dapat menilai secara tepat emosi orang lain cenderung lebih berkesan dalam interaksi dengan pekerjanya (Mayer et. Al., 2000).

Menurut Goleman (1998) pula, pemimpin yang mempunyai kemahiran dalam ketepatan kesedaran kendiri ini akan lebih berhati-hati terhadap kekuatan dan kelemahan dirinya, bersifat reflektif, belajar daripada pengalaman, lebih terbuka terhadap sebarang kritikan dan maklum balas, terus belajar, mantap dalam pembangunan diri, berkebolehan serta bersemangat. Kepimpinan yang menguasai kesedaran diri lebih sensitif kepada keperluan subordinat dan didapati berkesan dalam menentukan aspek-aspek yang diperlukan oleh subordinat untuk pembangunan diri dan seterusnya dapat meningkatkan keberkesanan organisasi (George, 2000). Domain ini mempunyai tiga subdomain iaitu kesedaran emosi, penilaian kendiri dan keyakinan diri. 

Kesedaran emosi merupakan keupayaan seseorang untuk mengenal pasti emosi yang wujud dalam dirinya dan kesannya terhadap prestasi sendiri. Seseorang yang mempunyai kesedaran emosi yang tinggi boleh merasakan perasaan yang sedang bergejolak di dalam dirinya (sama ada sedang sedih, kecewa, marah dan sebagainya) dan mampu mengaitkan perasaan tersebut dengan perkara yang sedang difikirkan, dilakukan dan diungkapkan. Individu tersebut juga sedar dan dapat menjangka kesan yang akan timbul akibat daripada luahan perasaannya terhadap dirinya dan orang lain. Individu tersebut juga menyedari nilai serta matlamat diri yang dijadikan panduan dalam menilai emosi sendiri. 

Penilaian kendiri yang tepat (Accurate Self-Assessment) pula merujuk kepada keupayaan seseorang untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan dirinya dalam melakukan sesuatu tugas. Individu yang tahu kekuatan dan kelemahan diri sendiri dapat menghargai kelebihan dan kekurangan orang lain. Justeru, dalam memperbaiki kelemahan diri sendiri, individu ini lebih bersifat terbuka dalam menerima pandangan, dan kritikan daripada sesiapa sahaja. Individu ini juga sentiasa bersifat terbuka dalam menerima maklumbalas dan cuba melihat idea ataupun pandangan baru dari perspektif yang baru. Ini dianggap sebagai pembelajaran sepanjang hayat yang dilakukan untuk mengembangkan potensi diri.  

Manakala keyakinan diri menggambarkan keupayaan seseorang untuk menghargai diri sendiri dan percaya dengan kebolehan diri dalam melakukan sesuatu tugas. Individu sedemikian mempunyai nilai diri yang tinggi dan sentiasa berpegang kepada prinsip hidupnya.  Mereka tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup orang lain. Individu ini juga tidak mengharap bantuan orang lain jika mereka mampu melaksanakan sesuatu tugas yang diamanahkan. Individu ini berani mengeluarkan pendapat dan idea walaupun mungkin tak digemari oleh orang lain. Individu ini boleh membuat keputusan yang tepat walaupun terdapat tekanan dan pandangan yang mengelirukan daripada orang lain. 

(b)           Kemampuan mengendalikan diri (Kawalan diri)

Kemampuan mengendalikan diri pula adalah kemampuan seseorang untuk mengendalikan perasaan yang sedang bermain dalam dirinya, selalu jujur dan bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu, fleksibel dengan perubahan dan boleh menerima idea baru dari sesiapa sahaja tanpa diiringi dengan perasaan negatif. 

Kawalan kendiri ialah kemampuan seseorang untuk mengawal perasaan yang sedang bergejolak di dalam dirinya, sentiasa jujur dalam bertindak, bertanggung jawab dalam melakukan sesuatu, fleksibel dengan perubahan yang berlaku dan mahu menerima idea-idea baru dari sesiapa sahaja tanpa diiringi dengan perasaan negatif.  Terdapat lima subdomain iaitu kawalan diri (Self control), kebolehpercayaan (Truthwortiness), bertanggungjawab (Conscientiousness), penyesuaian diri (Adaptability), dan inovasi (Innovation).

Kawalan diri merupakan keupayaan mengawal naluri dan emosi-emosi yang destruktif. Seseorang itu dapat memantau perasaan dan menghalang   cetusan emosi yang negatif sehingga tidak dapat dikesan oleh orang lain. Pengawalan kendiri ini diperlukan terutamanya dalam situasi seperti pertengkaran, dan perdebatan yang memerlukan seseorang itu berada dalam keadaan tenang supaya dapat berfikir dengan jelas dan memberi tumpuan kepada isu yang dibincangkan sebelum membuat sesuatu keputusan. 

 

Kebolehpercayaan (truhtwortiness) pula ialah keupayaan mengekalkan kejujuran dan jati diri yang tinggi. Seseorang yang mempunyai kejujuran yang tinggi akan mudah didekati dan disenangi oleh individu-individu lain. Mereka juga sentiasa ikhlas dalam menjalin hubungan dengan orang lain dan juga dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Ini dapat dilihat daripada ketulusan mereka mengakui kesilapan sendiri dan keberanian mereka untuk menegur perbuatan orang lain yang kurang beretika. Mereka mempunyai pendirian yang tegas berasaskan prinsip yang dipegang walaupun tidak disukai oleh orang lain. 

Seterusnya, bertanggungjawab (Conscientiousness) pula ialah seseorang yang mempunyai tanggungjawab diri yang tinggi ke atas pencapaian peribadi. Individu ini boleh menilai prestasi diri pada setiap masa dan sangat teliti dalam merencanakan sesuatu tugasan, menyelesaikan tugas pada waktunya dan berdisiplin. Kebolehan ini penting dalam mengukur tahap persediaan diri seseorang dalam menjalankan sesuatu tugas yang diberikan. 

Penyesuaian diri (Adaptabilitypula adalah seseorang yang sangat fleksibel (flexible) dalam menangani perubahan. Individu sedemikian cekap dalam menangani pelbagai cabaran, terutama yang melibatkan perubahan yang drastik dan memerlukan respons serta taktik yang selari dengan situasi yang anjal (fluid). Ciri keluwesan ini penting terutama bagi seseorang yang perlu membuat keputusan dalam situasi yang sentiasa berubah. Justeru, kebolehan menyesuaikan diri dalam suasana kerja yang pelbagai boleh membantu seseorang agar lebih mahir dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. 

Akhir sekali ialah inovasi (Innovation) iaitu seseorang yang berkebolehan menerima idea-idea baru, pendekatan dan maklumat baru daripada sesiapa sahaja tanpa perasaan negatif. Sentiasa mencari idea-idea baru daripada pelbagai sumber di samping menjana idea-idea baru. Individu sebegini sentiasa melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang berbeza dan berani mengambil risiko dalam melakukan sesuatu.

(c)            Motivasi

Motivasi merupakan kecenderungan emosi dalam membimbing seseorang untuk mencapai suatu tujuan. Selalu bersemangat untuk mencapai keberhasilan, mempunyai komitmen yang tinggi untuk mencapai tujuan yang ditetapkan, mempunyai sifat proaktif dan sentiasa meraih peluang yang ada, serta sentiasa istiqamah dalam mewujudkan tujuan yang ditetapkan, walaupun terdapat pelbagai tentangan dalam mewujudkan tujuan tersebut. 

Motivasi kendiri Ialah kecenderungan emosi dalam membimbing seseorang untuk mencapai sesuatu matlamat. Sentiasa bersemangat untuk mencapai kecemerlangan, mempunyai komitmen yang tinggi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan, mempunyai sifat proaktif dan sentiasa merebut peluang yang ada serta sentiasa istiqamah dalam mewujudkan matlamat, walaupun terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang mencabar. Ia mempunyai empat subdomain iaitu dorngan pencapaian (Achievement Drive) , komitmen  (Commitment), Inisiatif (Initiative) dan Optimis (Optimism).

Dorongan Pencapaian (Achievement Drive) ialah seseorang yang mempunyai semangat untuk mencapai suatu matlamat dan kecemerlangan. Individu ini, meletakkan sasaran yang mencabar dengan risiko tertentu. Individu ini juga menimba maklumat untuk mengurangkan ketidaktentuan dan mencari jalan untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik. Mereka juga sentiasa belajar pelbagai cara untuk meningkatkan prestasi ke arah yang lebih baik. Komitmen (Commitment) pula ialah mensejajarkan matlamat diri dengan matlamat kumpulan ataupun organisasi. Sanggup berkorban demi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu matlamat organisasi. Individu juga perlu mencari makna (sense of purpose) dalam misi yang lebih besar. Menggunakan nilai utama kumpulan dalam membuat keputusan dan menjelaskan pilihan serta aktif merebut peluang untuk mencapai misi kumpulan. 

Inisiatif (Initiative) pula ialah seseorang yang sentiasa memperlihatkan sifat proaktif dan selalu bersedia merebut peluang yang ada. Melaksanakan tugas melebihi matlamat yang ditetapkan, melakukan sesuatu dengan sempurna dan berkeinginan untuk menjadi yang terbaik. Berupaya mengembleng rakan-rakan untuk melaksanakan sesuatu tugas bersama-sama dengan cara tersendiri. Individu ini sentiasa berusaha hingga tercapainya matlamat dicita-citakan. Manakala Optimis (Optimism) bermaksud seseorang yang beristiqamah dalam mencapai cita-cita walaupun terdapat pelbagai halangan dan masalah. Individu yang optimis melihat dari sudut “harapan untuk berjaya” dan bukannya dari sudut “kemungkinan untuk gagal” serta lebih melihat masalah sebagai rintangan yang boleh diatasi dan bukannya kelemahan peribadi.

(d)         Empati

Keupayaan empati bermaksud kebolehan individu memahami orang lain termasuk perasaan dalaman dan ruang rujuk orang tersebut (Corey, 2009), dan tanpa kemahiran empati, agak sukar bagi seseorang untuk berhasil dalam melaksanakan domain kelima iaitu kemahiran sosial (Goleman, 1999).  

Empati juga merupakan kebolehan mengiktiraf emosi yang ada pada orang lain yang terbina daripada hasil kesedaran (Goleman, 1995); dan ia menunjukkan keupayaan mengiktiraf perasaan yang ada pada orang lain (Whissel, 1991). Oleh kerana itu, kemampuan empati ini sangat penting dalam membentuk hubungan yang harmonis dengan orang lain, baik dalam organisasi mahupun dalam masyarakat. Selai nitu, empati juga memberi maksud menyedari perasaan, keperluan dan kehendak, masalah atau keperihatinan (concern) yang dirasakan oleh orang lain. Mampu mengesan perasaan orang lain daripada perspektif mereka, mengesan keperluan, mengembangkan potensi orang lain, sentiasa berkeinginan untuk memenuhi keperluan orang lain, memupuk peluang melalui kepelbagaian manusia dan berupaya memahami perasaan kumpulan serta pemegang kekuasaan di sesebuah organisasi. Domain empati mempunyai lima subdomain iaitu Memahami Orang Lain (Understanding Others), mengembangkan potensi orang lain (Developing Others), berorientasikan Perkhidmatan (Service Orientation), mencungkil kepelbagaian (Leveraging Diversity), dan kesedaran politik (Political Awareness).

Memahami orang lain (Understanding Others) iaitu kebolehan mengesan perasaan orang lain, perspektif mereka dan menunjukkan minat yang mendalam ke atas kehendak dan masalah (concern) yang dihadapi oleh individu lain. Kebolehan memberikan perhatian terhadap tingkah laku seseorang dan mahu mendengar secara aktif tentang apa sahaja yang dicurahkan oleh seseorang tersebut. Menunjukkan sensitiviti dan memahami orang lain daripada perspektif mereka. Individu ini juga sedia membantu berdasarkan pemahaman tentang keperluan dan perasaan orang lain.   Kedua ialah mengembangkan potensi orang lain (Developing Others). Ia bermaksud mampu mengesan keperluan mengembangkan potensi dan meningkatkan kebolehan mereka. Individu ini dapat mengakui dan memberi ganjaran atas kekuatan dan pencapaian orang lain. sentiasa memberikan maklum balas yang berguna dan mengenal pasti keperluan orang lain untuk perkembangan diri mereka. Seseorang juga boleh menjadi pembimbing dan menawarkan tugasan yang mencabar yang dapat membentuk kemahiran individu lain. Kebolehan ini adalah salah satu daripada pendekatan kepimpinan yang efektif (Goleman, Boyatzis & McKee 2002). 

Ketiga pula ialah berorientasikan perkhidmatan (Service Orientation). Ia bermaksud menjangka, mengenal pasti dan memenuhi keperluan pelanggan. Seseorang individu itu sama ada peniaga, pekerja komersial mahu pun penjawat awam perlu memahami keperluan pelanggan tentang perkhidmatan mahupun produk yang diniagakan. Mereka juga sanggup mencari pelbagai kaedah untuk meningkatkan kepuasan dan kesetiaan pelanggan, menghulur bantuan yang sesuai dengan ikhlas. Mereka juga memahami perspektif pelanggan dan bertindak sebagai penasihat yang boleh dipercayai. 

Keempat pula ialah mencungkil kepelbagaian (Leveraging Diversity) bermaksud memupuk peluang melalui kepelbagaian manusia. Seseorang itu perlu menghormati dan membina hubungan yang baik dengan orang daripada berbagai latar belakang, memahami berbagai pandangan dan sensitif terhadap perbezaan kumpulan serta melihat kepelbagaian sebagai peluang serta mencipta persekitaran di mana semua orang boleh berkembang maju. Seseorang juga perlu menghakis bias dan memupuk toleransi.

   Kelima ialah kesedaran politik (Political Awareness) iaitu merupakan keupayaan membaca emosi kumpulan serta pemegang tampuk kuasa dalam sesuatu hubungan, mengesan rangkaian sosial yang penting, memahami kuasa yang membentuk pandangan dan tindakan klien, pelanggan ataupun pesaing, dan juga mempunyai kebolehan dalam memahami realiti dalaman dan luaran organisasi. 

Dalam kajian ini, empati merujuk kepada kemampuan menyedari perasaan, keperluan dan kehendak, serta masalah yang dirasakan oleh orang lain, dan mampu mengembangkan potensi orang lain, dan senantiasa berkeinginan untuk memenuhi keperluan orang lain.

(e)            Kemahiran sosial

Kemahiran sosial ialah suatu situasi di mana seseorang mempunyai kebolehan mengendalikan hubungan interpersonal dengan berkesan dan kebolehan mengawal kendiri seperti mampu mengawal perasaan ketika berinteraksi dengan orang lain (Goleman, 1995); serta kebolehan mengurus emosi diri dan orang lain yang dapat digunakan untuk mencapai keputusan yang positif antara kedua belah pihak antaranya mengendalikan perasaan anti sosial dan sifat menggunakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri (Salovey & Mayer, 1990). 

Ia merupakan kemahiran mencetuskan respon yang dikehendaki daripada orang lain. Menggunakan cara yang efektif untuk memujuk orang lain, mampu menerima dan menyampaikan mesej dengan penuh keyakinan dan berkebolehan menyelesaikan konflik dengan baik. Terdapat lapan subdomain iaitu pengaruh (Influence), komunikasi (Communication), pengurusan konflik (Conflict Management), kepimpinan (Leadership), pemangkin perubahan Change Catalyst), membina hubungan (Building Bonds), kolaborasi dan kerjasama (Collaboration and Cooperation), dan keupayaan berpasukan (Team Capabilities).

Subdomain yang pertama ialah pengaruh. Pengaruh (Influence), ialah menggunakan taktik yang efektif untuk membujuk orang lain, iaitu seseorang yang berkemahiran dalam mempengaruhi orang lain dengan cara menyampaikan idea secara halus untuk menarik minat orang lain. Individu ini pandai menggunakan strategi yang pelbagai (seperti pengaruh tak langsung) untuk membina konsensus dan sokongan, serta mencetus suasana yang dramatik untuk menonjolkan idea secara efektif. 

Subdomain yang kedua ialah komunikasi. Komunikasi (Communication) ialah seseorang yang mendengar secara terbuka dan menyampaikan mesej secara meyakinkan. Individu yang mempunyai kemahiran berkomunikasi ini adalah efektif dalam bertolak ansur dan menyampaikan tanda emosi sejajar dengan mesej yang disampaikan. Mereka juga suka berterus terang dalam isu yang rumit, mendengar secara aktif, saling memahami dan mengalu-alukan perkongsian maklumat sepenuhnya. Mereka juga sentiasa menggalakkan komunikasi terbuka dan setia mendengar berita buruk dan baik. 

Subdomain ketiga ialah pengurusan Konflik (Conflict Management) bermaksud erunding dan menyelesaikan pertikaian. Seseorang yang berkemahiran dalam pengurusan konflik boleh menangani individu yang sukar dihadapi serta boleh menenangkan keadaan yang tegang dengan bijaksana. Mereka juga boleh mengesan potensi konflik berlaku dalam sesuatu keadaan, menyelesaikan percanggahan pendapat secara terbuka dan membantu meredakannya, menggalakkan perbahasan dan perbincangan terbuka serta mampu merancang penyelesaian berbentuk tanpa merugikan salah satu pihak. 

Kepimpinan (Leadership) pula merupakan subdomain yang keempat bermaksud pemimpin berfungsi untuk memberi inspirasi dan membimbing individu dan kumpulan. Pemimpin yang baik melahirkan dan membangkitkan keghairahan untuk mencapai misi dan visi yang dirangka bersama. Mereka akan melangkah ke hadapan untuk memimpin bila diperlukan tanpa mengira kedudukan, membimbing prestasi orang lain dan pada masa yang sama mempertanggungjawabkan orang bawahan atas prestasi masing-masing, serta memimpin melalui teladan. 

Seterusnya, subdomain kelima ialah pemangkin Perubahan (Change Catalyst). Pemangkin perubahan akan memulakan atau melaksanakan perubahan yang berlaku dalam sesebuah organisasi. Seseorang yang mempunyai kecekapan ini mengetahui keperluan untuk berubah dan berusaha menyingkirkan halangan dan mencabar keadaan yang boleh mengganggu keperluan untuk berubah tersebut. Mereka juga memperjuangkan perubahan secara kolaborasi bersama-sama dengan rakan-rakan setugas yang lain. 

   Membina Hubungan (Building Bonds) pula merupakan subdomain yang keenam. Ia bermaksud membentuk hubungan yang bermakna dalam sesebuah organisasi. Seseorang perlu memupuk dan mengekalkan jaringan informal yang luas, membina hubungan yang saling memberi faedah, membina hubungan baik serta membina dan mengekalkan persahabatan peribadi dalam kalangan rakan sejawat. 

Subdomain ketujuh ialah kolaborasi dan kerjasama (Collaboration and Cooperation). Ia memberi maksud bekerjasama dengan orang lain demi mencapai matlamat yang sama berpandukan misi dan visi organisasi. Kebolehan ini ditunjukkan dengan cara menyeimbangkan fokus terhadap tugasan serta perhatian terhadap hubungan. Kolaborasi, berkongsi rancangan, maklumat dan sumber serta mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan mesra. Individu ini juga boleh mengesan dan memupuk peluang untuk bekerjasama antara rakan sejawat atau orang bawahan supaya matlamat organisasi dapat dicapai secara bersama-sama.  

Subdomain terakhir iaitu subdomain kelapan iaitu keupayaan berpasukan (Team Capabilities) mewujudkan sinergi kumpulan dalam mencapai matlamat bersama. Seorang pemimpin (informal atau formal) perlu membentuk ciri kumpulan yang berasaskan pada saling menghormati, suka membantu dan bekerjasama. Pemimpin ini juga dapat membawa semua ahli kumpulan bersama-sama aktif dan bersemangat dalam membina identiti kumpulan, semangat kekitaan dan komitmen serta memelihara kumpulan dan reputasi yang pernah didapat serta berkongsi penghargaan yang diterima bersama-sama. 

(f)            Kerohanian

Domain kerohanian menggambarkan beberapa hal seperti keredhaan, rasa tanggungjawab kepada pencipta serta kemampuan menghayati nilai-nilai agama. Keredhaan didefinisikan sebagai kemampuan seseorang untuk menerima dengan hati yang tulus nilai-nilai yang digariskan oleh agama masing-masing. Peraturan-peraturan tersebut selalu dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Rasa tanggungjawab terhadap pencipta membantu seseorang dalam melaksanakan tugas tanpa rasa bosan, kerana melihat tugas tersebut sebagai salah satu jalan ibadah kepada-Nya. Seterusnya keadaan ini mampu memberikan semangat kepada individu untuk terus bekerja dengan penuh keikhlasan.

Kesedaran tentang tanggungjawab terhadap penciptanya membantu seseorang itu dalam melaksanakan tugas tanpa rasa jemu. Seterusnya keadaan Ini boleh memberi semangat kepada individu untuk terus bekerja.   Ini memberikan implikasi bahawa seseorang yang sentiasa aktif bekerja untuk memenuhi tanggungjawab sebagai seorang manusia kepada penciptanya dapat membina aras keyakinan dan juga kerohanian yang tinggi. Untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, seseorang itu perlu sentiasa berkomunikasi dengan penciptanya, dan pada masa yang sama mereka juga perlu menguasai pelbagai ilmu pengetahuan bagi memenuhi tuntutan kerohaniannya. Dalam mengamalkan nilai-nilai agama seseorang itu akan sentiasa berfikir dulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Kekuatan kerohanian dikaitkan dengan kebolehan seseorang untuk bersabar, beriman, bertakwa dan ikhlas dalam melaksanakanya.  

Gambaran tentang keredhaan yang dikemukakan oleh Noriah et al di atas disokong oleh Sholihin dan Anwar (2002), yang menyatakan bahawa keredhaan ialah menerima dengan ikhlas segala sesuatu yang dianugerah Allah SWT. Seseorang yang mempunyai sifat redha mampu melihat hikmah dan kebaikan di sebalik cubaan dan tantangan yang diberikan kepada mereka, dan tidak pernah berprasangka buruk terhadap ketentuan Yang Maha Kuasa. Bahkan pada masa yang sama ia mampu melihat keagungan, kebesaran, dan kesempurnaan zat yang memberikan cubaan tersebut, sehingga ia tidak pernah mengeluh dan merasa tersakiti dengan cubaan yang diberikan.  

Abdul Halim dalam Sholihin&Anwar (2002) juga mengemukakan bahawa redha dapat mendorong manusia agar bersuha sekuat tenaga untuk mendapatkan apa yang dicintai Allah dan rasul-Nya. Namun sebelum mendapatkanya ia harus menerima dan merelakan akibatnya dengan cara apapun yang disukai Allah SWT. Sifat mental redha ini merupakan kelanjutan rasa cinta atupun perpaduan dari mahabah dan sabar. Seterusnya Abdul Halim juga menyatakan bahawa redha juga mengandung pengertian menerima dengan lapang dada dan hati terbuka ke atas segala sesuatu yang datang daripada Allah SWT, sama ada dalam menerima mahupun dalam melaksanakan ketentuan-ketentuan agama yang berkaitan dengan masalah nasib dirinya. Hal ini dapat dimunculkan dengan adanya rasa cinta yang diperkuat dengan ketabahan, sehingga boleh menimbulkan kelapangan hati, kesediaan yang tulus ikhlas untuk berkorban, dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh yang dicintai. Dengan kata lain; rela menuruti apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. tanpa rasa terpaksa, serta tidak pernah terlintas di dalam fikiran untuk menyesali nasib yang dialami.       

Clinebell dalam Hawari (1999), dalam persidangan pertama “Pan Fasific on Drugs and Alkholism” mengemukakan dalam kertas kerjanya yang bertajuk “The Role of Religion in the Prevention and treatment of Additions the Growth Counseling Perspective” bahawa, pada dasarnya setiap diri manusia terdapat keperluan asas kerohanian (basic spiritual need) bukan hanya bagi manusia yang beragama, tetapi juga bagi manusia yang tidak memeluk agama sekalipun (sekuler). 

Hawari (1999) mengemukakan bahawa sebenarnya fitrah manusia sama ada disedari atau tidak, mereka sangat merindukan Tuhan Maha Pencipta ataupun pelindungnya. Keperluan asas kerohanian sudah merupakan fitrah, dan suara fitrah itu muncul terdengar dan sentiasa menjerit memanggil Tuhannya manakala manusia berhadapan dengan berbagai malapetaka, kesukaran dan permasalahan hidup ataupun ditimpa sesuatu penyakit. Dalam keadaan sedemikian manusia akan tunduk, patuh, bertawakal dan tidak mengingkari Tuhannya. 

Walau bagaimanapun, sering juga terlihat pada sesetengah manusia apabila diberikan nikmat kepadanya, ketika itu mereka sering lalai dan seolah-olah tidak perlu kepada pertolongan Maha pencipta. Oleh itu, hendaknya manusia sentiasa berada pada jalan (agama) yang lurus, agar keperluan asas kerohanianya selalu terpenuhi. Dari beberapa kajian yang telah dijalankan oleh pakar, antaranya adalah Clinebell dalam Hawari (1999) telah memperolehi 10 iventarisasi keperluan asas kerohanian manusia iaitu;   

Keperluan ke atas kepercayaan dasar (basic trust) yang sentiasa secara teratur terus-menerus diulang guna membangkitkan kesedaran bahawa hidup ini adalah ibadah, maka manusia tidak perlu merasa takut apabila satu masa mereka mengalami kesusahan, kesedihan, ataupun kehilangan sesuatu yang sangat dicintai, kerana semua itu hanyalah cubaan keimanan dan keyakinan. Sebaliknya apabila diberi kenikmatan hendaknya manusia pandai mensyukurinya. Apabila sedang senang jangan lupa daratan dan apabila sedang susah jangan lupa ingatan”.

Keperluan ke atas makna hidup, manusia diciptakan membawa dua misi utama, iaitu sebagai pemimpin dimuka bumi (khalifah fil ardh) dan pada masa yang sama manusia juga sebagai hamba (’abdun) yang harus mengabdi kepada Tuhannya. Keperluan ke atas komitmen ibadah dan hubungkaitnya dengan hidup seharian. Setiap ibadah yang dilakukan hendaknya mempunyai pengaruh yang nyata dalam kehidupannya.  Keperluan ke atas pengisian keimanan dengan cara selalu mengadakan hubungan dengan Tuhan. Hal ini dimaksudkan agar kekuatan iman dan taqwa seseorang tidak melemah. Keperluan ke atas bebas daripada rasa bersalah dan berdosa. Kedaan sebegini akan menjadi beban mental bagi seseorang, sehingga boleh menjejaskan kesihatan jiwa.  Keperluan ke atas penerimaan diri dan harga diri (self acceptence and self-estem). Setiap diri ingin dihargai dan diterima oleh persekitarannya, serta tidak ingin diremeh dan dipulaukan.  Keperluan ke atas rasa aman, terjamin dan keselamatan terhadap harapan masa hadapan. Keperluan ke atas tercapainya darjat dan martabat yang semakin tinggi sebagai peribadi yang utuh (integrated personality)

Keperluan ke atas terpeliharanya dengan alam dan sesama manusia. Ini menunjukkan bahawa manusia tidak mampu untuk hidup sendirian, sangat memerlukan keberadaan orang lain dan persekitarannya.  Keperluan ke atas hidup bermasyarakat yang penuh dengan nilai-nilai agama. Woodhouse dalam Hawari (1999) mengatakan bahawa bila anda tidak menginginkan wujudnya berbagai penyakit psikososial di dalam masyarakat, maka hendaknya dipegang teguh tiga jati diri, iaitu masyarakat yang Bergama, kewujudan keluarga, sifat saling tolong-menolong diantara sesama dan tidak mementingkan diri sendiri.  

(g)           Kematangan

Domain kematangan pula menggambarkan aspek usia, pengalaman dan pengetahuan serta dampaknya terhadap kecerdasan emosi. Dari segi usia, didapati individu biasanya menjadi lebih matang apabila usianya bertambah. Kematangan ini digambarkan dengan kemampuan seseorang untuk mengendalikan tingkah lakunya apabila usianya terus meningkat. Peningkatan usia tersebut membantu dirinya untuk melakukan refleksi diri, melihat kelemahan dan kekuatan diri untuk dijadikan guru yang sangat berharga dalam meneruskan kehidupan.

Penelitian Noriah et al. (2004) mendapati bahawa pengalaman hidup berkorelasi positif, serta mempengaruhi kecerdasan emosi seseorang. Seseorang yang mempunyai pengalaman positif tentang dunia pekerjaannya, dapat mengawal emosi dengan baik di tempat kerja berbanding dengan seorang pekerja yang masih kurang berpengalaman di dunia pekerjaan. Pengalaman juga boleh membantu seseorang belajar dan seterusnya menggunakan hasil pembelajaran tersebut apabila dalam keadaan konflik dengan diri atau orang lain. Pengalaman lepas dianggap sebagai contoh atau tauladan. Peningkatan ilmu pengetahuan juga boleh membantu seseorang dalam meningkatkan kematangan diri.

Pengetahuan tersebut boleh diperolehi sama ada melalui pembelajaran secara formal iaitu hasil daripada latihan dalam perkhidmatan atau sebelum perkhidmatan atau secara tidak formal. Walaubagaimanapun, kebanyakan pembelajaran berlaku dalam keadaan tidak formal. Individu yang boleh menyerap ilmu pengetahuan secara tidak formal dan menggunakannya dalam kehidupan peribadi atau pekerjaannya secara berkesan dapat meningkatkan kecerdasan emosinya.

 

No comments:

Post a Comment