Monday 11 January 2021

Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)

   Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)

Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) Menurut Akta Pendidikan 1996, Ketua Nazir Sekolah (KNS) dipertanggungjawabkan untuk memastikan standard pengajaran diwujudkan serta dikekalkan di Institusi Pendidikan (SKPM 2010). Walaupun pada asalnya berfokus kepada pengajaran, namun bidang pengurusan institusi pendidikan juga disenaraikan di dalam skop tanggungjawab ketua nazir Ketua Nazir Sekolah (KNS) dan Nazir Sekolah (NS). 

Oleh kerana itu, Jemaah Nazir Sekolah (JNS) telah memperkenalkan memperkenalkan mekanisme yang lebih sistematik untuk menetapkan standard bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara pada tahun 2001. Mekanisme tersebut dinamakan Sistem Pemastian Peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (SPPSTKP) atau dinamakan juga sebagai Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP). Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) membolehkan sekolah membuat penarafan kendiri untuk mengenalpasti kekuatan dan juga kelemahan yang terdapat di sekolah. Kelemahan yang dikelnalpasti dianalisis agar sekolah tersebut dapat merancang program penambahbaikan secara berterusan.

Setelah dilaksanakan selama dua tahun, Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) dikaji semula dan dilakukan penambahbaikan. Kelemahan yang dikenalpasti ialah bersifat teknikal dan mengambil masa untuk dilaksanakan. Justeru itu, pada tahun 2003, ianya diolah semula dengan penghasilan yang lebih ringkas dan mudah yang dinamakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Penggunaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) oleh JNJK dan juga bahagian lain di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memeriksa serta menilai sekolah. Sekolah pula menggunakannya untuk mengenalpasti kekuatan, kelemahan dan juga isu yang dihadapi melalui Penarafan Kendiri Sekolah (PKS) dan maklumat yang diperolehi digunakan untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan kepada sekolah.

Merujuk kepada hala tuju JNJK 2010-2015, penekanan kepada aspek kemenjadian murid, perubahan terkini dalam pendidikan seperti Transformasi pendidikan dan juga Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan pendidikan, penggunaan SKPM semakin meluas dan dilihat sebagai suatu perkara yang penting. Untuk memenuhi keeperluan semasa, SKPM disemak semula dan dimantapkan untuk memenuhi keperluan tersebut dan akhirnya Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM 2010) diperkenalkan. 

Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM 2010) dijadikan sebagai rujukan induk standard pendidikan negara. Ianya lebih praktikal, mudah diurus, mesra pengguna serta menitikberatkan maklumbalas pengguna. Prinsip yang digunakan dalam SKPM 2010 adalah mengambilkira perubahan terkini dalam bidang pendidikan dan perkembangan semasa negara. Selain itu, SKPM (2010) juga merangkumi semua aspek yang berkaitan dengan proses pendidikan dan juga pengurusan sekolah sebagai organisasi pembelajaran. SKPM (2010) berfokus kepada fungsi proses dalam sesuatu bidang atau aspek dengan menitikberatkan hasilnya. 

Bagi memastikan skop dan juga kandungan SKPM (2010) menyeluruh dan relevan untuk dilaksanakan, pelbagai usaha dilaksanakan termasuklah rujukan terhadap dokumen, buku, kajian-kajian terdahulu tentang kepimpinan, pengurusan dan pengajaran serta pelbagai standard berkaitan pendidikan dari dalam dan luar negara dibuat. Selain itu, maklumbalas dan juga pandangan dari pelbagai pihak termasuk nazir yang berpengalaman, pegawai-pegawai di KPM, pengetua dan guru besar serta pakar-pakar juga diperolehi. Selain itu juga, kajian rintis di sekolah dari pelbagai jenis dan kategori dilakukan untuk memastikan kesahan dan kebolehpercayaan SKPM.

Konsep asas dalam pembentukan SKPM adalah berdasarkan kepada Model Sekolah Berkesan (Sammons, Hillman & Mortimeore, 1995) dan Model Kemenjadian Murid yang telah dikemukakan di dalam hala tuju JNJK 2010-2015. Berdasarkan konsep model berkenaan, setiap unsur, gerak kerja serta penggemblengan sumber di institusi pendidikan memberi sumbangan ke arah kemenjadian murid. Faktor penyumbang kepada proses pembelajaran yang menentukan corak kemenjadian murid ialah termasuklah kepimpinan dan pengurusan institusi pendidikan; profesionalisme keguruan; pengurusan kurikulum dan kokurikulum; prasarana dan sumber pendidikan; pembangunan sahsiah dan kebajikan; partisipasi komuniti dalam pendidikan; dan pembelajaran dan pengajaran serta penilaian. 

Berdasarkan Model Sekolah Berkesan dan Model Penaziran Kemenjadian Murid serta teori dan model lain yang berkaitan, maka jawatankuasa nazir dan jaminan kualiti (JNJK) menghasilkan SKPM 2010 yang terdiri daripada lima standard, iaitu kepimpinan dan hala tuju, pengurusan organisasi, pengurusan kurikulum, kokurikulum dan sukan, dan hal ehwal murid, pembelajaran dan pengajaran dan terakhir ialah kemenjadian murid. Kelima-lima standard tersebut digunakan untuk mengukur tahap kecemerlangan sekolah. Setiap standard terdiri daripada satu senarai aspek. Setiap aspek terdiri daripada kriteria kritikal. Bagi setiap kriteria kritikal pula, disediakan deskripsi skor. Deskripsi skor mengandungi indikator kualiti yang menjadi panduan dalam penentuan skor. 

Standard ini menghuraikan kandungan SKPM 2010 yang terdiri daripada lima standard. Huraian ini bertujuan membantu pengetua dan guru besar atau pihak yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sekolah untuk memahami kandungan SKPM 2010 dan berusaha ke arah pelaksanaan standard tersebut. 

No comments:

Post a Comment