Monday 11 January 2021

Ciri-ciri pengurusan kualiti

    Ciri-ciri pengurusan kualiti

Pengurusan kualiti mempunyai beberapa ciri penting termasuklah matlamat, fokus, strategi dan juga pelaksana. Matlamat Pengurusan kualiti ialah memberi kepuasan hati pelanggan. Ini dilakukan dengan cara menghasilkan output-output yang dapat memenuhi kehendak pelanggan serta menepati ekspektasi mereka. Setiap keluaran yang dihasilkan itu mestilah juga dipastikan tidak mempunyai kecatatan (defect free) atau kesilapan (error free) kerana kecacatan atau kesilapan boleh menjejaskan kepuasan hati pelanggan. Di atas alasan yang sama juga sesebuah organisasi itu perlu memastikan sejak dari mula lagi bahawa output yang dikeluarkan adalah output yang betul sepertimana yang dikehendaki oleh pelanggan.

Fokus pengurusan kualiti memberi tumpuan kepada pembangunan sistem-sistem dan proses-proses kerja yang berkualiti. Ini kerana hanya sistem dan proses yang berkualiti sahaja dapat menjamin penghasilan output yang berkualiti. Pengurusan kualiti juga memberi perhatian kepada golongan pelanggan dan pembekal. Segala maklumbalas dan pandangan daripada pelanggan digunakan untuk tujuan membuat rekabentuk sistem dan proses-proses kerja yang akan dijalankan. Golongan pembekal pula dianggap sebagai rakan kongsi yang sama-sama bertanggungjawab menghasilkan keluaran-keluaran yang berkualiti. Golongan ini penting kerana peranannya membekalkan input-input yang berkualiti kepada organisasi.

Dari segi strategi peningkatan kualiti pula, Pengurusan kulaliti menekankan proses penambahbaikan yang berterusan (continous improvement). Proses ini mengandungi tindakan-tindakan strategik yang dirancang dengan teliti dan berorientasikan matlamat jangka panjana. Proses ini melibatkan seluruh organisai (total involvement) di mana segala sumber dan kekuatan yang ada dalam organisasi berkenaan akan digembleng sepenuhnya dalam usaha kualiti.

Mengikut pendekatan Pengurusan kualiti pelaksana atau setiap anggota di dalam organisasi sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya menjayakan usaha-usaha peningkatan kualiti. Dengan penglibatan menyeluruh (total participation) seperti ini barulah usaha peningkatan kualiti boleh meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan. Penglibatan ini dilaksanakan secara terkawal (guided involvement) supaya masa dan tenaga yang disumbang oleh kakitangan dapat difokuskan mengikut keutamaan organisasi. Namun begitu, peranan pengurusan atasan adalah sangat penting. Mereka bertanggungjawab menerajui perubahan-perubahan dan memberi kepimpinan yang berkesan. Selain daripada itu sumbangan Pasukan-pasukan kerja juga amat digalakkan di bawah pengurusan kualiti. Pasukan-pasukan ini didapati berkesan dalam menghasilkan idea-idea yang kreatif dan inovatif serta mampu melaksanakan pembaharuan-pembaharuan dengan jayanya. 

Dengan demikian, matlamat utama pengurusan kualiti ini adalah untuk meraih kualiti dalam pengurusan sesebuah organisasi dalam setiap sudut. Ianya merangkumi kepastian kualiti dalam perkhidmatan dan juga hasil yang mengutamakan penambahbaikan secara berterusan dalam modal manusia. Organisasi memerlukan penyertaan pada semua pengurus dalam semua peringkat. Pengurusan kualiti juga memastikan pengurusan membuat sesuatu yang betul pada peringkat permulaan.

No comments:

Post a Comment