Monday 11 January 2021

National Professional Qualification for Educational Leader (NPQEL)

 National Professional Qualification for Educational Leader                          (NPQEL)

Program Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) adalah suatu kursus yang dianjurkan oleh Institut Aminuddin baki berkaitan pengurusan dan kepimpinan yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pengetua dalam melaksanakan tugas di sekolah. NPQEL memberi maksud Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan. 

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menggariskan bahawa bermula pada tahun 2014 Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dikeluarkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi prasyarat pelantikan pengetua dan guru besar di Malaysia. Ketetapan ini bermakna mana-mana guru di Malaysia yang ingin menjadi pengetua di sekolah menengah dan guru besar di sekolah rendah diwajibkan memiliki NPQEL selain syarat-syarat lain. Sama ada para guru menyedari atau tidak perkara ini, mereka tidak boleh membantah jika tidak boleh dilantik dan tidak boleh menikmati kenaikan pangkat sebagai pengetua atau guru besar hanya kerana tidak memiliki sijil atau diploma NPQEL.

Tujuan kementerian mewujudkan syarat ini adalah disebabkan oleh hasrat kerajaan ingin memastikan semua sekolah di Malaysia dipimpin oleh pengetua dan guru besar yang berkompetensi tinggi sahaja. Kajian menunjukkan bahawa sekolah yang didatangkan pengetua dan guru besar yang baik boleh meningkatkan pencapaian muridnya sebanyak 20 peratus.  Kajian juga menunjukkan pengetua dan guru besar yang mengikuti kursus atau latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan, latihan kepengetuaan, pembangunan profesionalisme dan kursus-kursus lain yang berkaitan memberi impak yang tinggi kepada kepimpinannya. Persoalan yang ada ialah adakah bilangan pemegang NPQEL mencukupi untuk mengisi 4000 kekosongan pengetua atau guru besar yang berlaku dalam tempoh 2013 - 2015 ini dan juga bagaimana cara pelaksanaan operasi penggantian dan pengisian pengetua dan guru besar dengan prasyarat baru ini.

Data menunjukkan satu perempat sahaja daripada 2,073 pemegang NPQEL atau NPQH sebelumnya telah dilantik menjadi pengetua atau guru besar. Bermula tahun 2013, pengambilan peserta kursus NPQEL oleh IAB ditambah daripada 300 setahun kepada 1000. Dua ambilan setiap satu 500 orang peserta dilaksanakan pada bulan Februari dan Julai. Sehingga tahun 2015 jumlah pemegang sijil NPQEL/NPQH ialah 5,316 satu jumlah yang melebihi keperluan.

Antara kejayaan kepimpinan sekolah yang telah dilaksanakan pada tahun 2016 adalah sejumlah 1,685 orang peserta telah dilatih dan sehingga ini sebanyak 56% daripada pemimpin sekolah memperoleh kelayakan NPQEL. Sejumlah 1,162 orang pemimpin sekolah yang baharu dilantik mendapat bimbingan daripada SIPartner+ di daerah dan ima orang bakal pemimpin sekolah telah menyertai program rintis Residensi selama satu bulan. Sejumlah 17 orang pemimpin sekolah (94.4 %) yang menyertai latihan CPD telah mencapai set minimum tahap kompetensi. Satu modul latihan telah dibangunkan dan dirintis dinamakan CPD menghasilkan sejumlah 60 orang pemimpin sekolah telah menyertai program rintis tersebut. Kementerian juga telah merangka satu garis panduan baharu untuk menempatkan pemimpin sekolah berprestasi tinggi ke sekolah yang berprestasi rendah untuk memperkenalkan satu pengurusan berdasarkan prestasi dan kompetensi. 

Kejayaan dalam tahun semasa telah membolehkan Kementerian mengisi kekosongan jawatan 96.7% pemimpin sekolah dengan kadar yang lebih pantas. Pemimpin sekolah baharu dapat dilantik pada kadar 9.7 hari pada tahun 2016, berbanding dengan 88.1 hari pada tahun 2014.

Kementerian Pendidikan telah menetapkan Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) sebagai syarat wajib pemilihan pemimpin sekolah Pada tahun 2013, seramai 3423 guru dan 464 pegawai di KPM, JPN dan PPD memohon untuk mengikuti program NPQEL. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,007 guru layak mengikutinya, melebihi sasaran 1,000 guru. Latihan NPQEL dijalankan di Institut Aminuddin Baki di Genting Highlands, Jitra, Kota Kinabalu dan Kuching.  

Pada tahun 2014, Kementerian menyediakan pangkalan data dan memetakan profil lulusan NPQEL mengikut negeri dan daerah bagi menyediakan pelan pelapis pemimpin sekolah yang berprestasi tinggi dan memenuhi syarat yang ditetapkan. NPQEL Khas disediakan bagi 403 calon pengetua dan guru besar yang layak dilantik pada tahun 2014 tetapi tidak mempunyai kelayakan NPQEL.

Seramai 1,020 orang guru telah memperoleh sijil National Professional Qualification for Educational Leaders(NPQEL) pada tahun 2014. Sebanyak 63% daripada peserta kursus ini mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 dan ke atas. Di samping itu, pelbagai program dijalankan bagi memastikan pengetua dan guru besar menerima latihan persediaan induksi untuk membantu mereka membangunkan dan melestasikan kemahiran profesionalisme dan kepimpinan. Untuk memastikan Kementerian mempunyai kumpulan calon yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan pemimpin sekolah, usaha juga telah dilakukan bagi mengenal pasti calon berpotensi untuk mengikuti program NPQEL. 

Program NPQEL ini telah diiktiraf oleh agensi pusat sebagai program pensijilan latihan dan dijadikan sebagai prasyarat bagi pelantikan sebagai pemimpin sekolah. Pada tahun 2015, sebanyak 1,371 orang calon telah dilatih. Dengan adanya kumpulan calon yang berkelayakan NPQEL, Kementerian telah berjaya mengisi dengan pantas 99.1% kekosongan jawatan pemimpin sekolah dengan calon yang berkelayakan. Tempoh masa pengisian kekosongan jawatan telah dikurangkan secara purata daripada 88.1 hari kepada 9.5 hari. Kementerian juga telah menyediakan program sokongan kepada pemimpin sekolah untuk meningkatkan daya kepimpinan.

No comments:

Post a Comment