Monday, 11 January 2021

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 - 2025)

 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 - 2025)

Sebagaimana yang kita sedia maklum, PPPM lahir daripada usaha bersama panel penilai bebas Malaysia dan antarabangsa, panel dialog serta maklum balas daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kemandirian pendidikan nusa dan bangsa. Hasilnya, hasrat kita melalui PPPM telah mendapat pengiktirafan pihak UNESCO dan pakar-pakar antarabangsa seperti Dr Andreas Schleicher (OECD) dan Professor Michael Fullan (Profesor Emeritus, Ontario Institute for Studies in Education, Ontario University, Canada) serta diakui sebagai pelan yang realistik sekiranya dilaksanakan dengan cara terbaik (Muhyiddin Yasin, 2012). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 bukan sahaja dapat membentuk pengetua, guru besar dan guru berprestasi tinggi dan futuristik malah melahirkan individu berfikiran kritis dengan kemahiran berkomunikasi.

Kualiti pengetua dan guru besar merupakan faktor berasaskan sekolah yang kedua terpenting dalam menentukan keberhasilan murid. Kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua dan guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepimpinan instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20%. Walau bagaimanapun, kriteria pemilihan yang diamalkan pada hari ini sebahagian besarnya ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kecekapan kepimpinan. Tambahan lagi, 55% daripada semua pengetua dan guru besar yang ada pada hari ini tidak pernah mengikuti latihan persediaan atau induksi sebelum atau semasa mereka berada dalam tempoh tiga tahun pertama sebagai pengetua dan guru besar. Hal ini bermakna mereka mungkin menjalankan tugas sebagai pengetua dan guru besar dalam keadaan yang kurang bersedia. Dengan bilangan 40% pengetua dan guru besar yang bersara dalam tempoh lima tahun akan datang, maka wujud peluang untuk meningkatkan kualiti kohort ini.

Bentuk kejayaan yang diperolehi ialah setiap sekolah akan mempunyai pengetua dan guru besar berprestasi tinggi yang sentiasa gigih dalam matlamatnya untuk meningkatkan keberhasilan murid, dari segi akademik dan bukan akademik. Pengetua dan guru besar cemerlang akan diberi insentif untuk berkhidmat di sekolah berprestasi rendah, dan akan berperanan sebagai mentor dalam komuniti yang lebih luas. Seterusnya, asas kepimpinan di setiap sekolah akan diperkukuh, iaitu dengan membangunkan dan menjadikan guru penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sebagai pemimpin instruksional.

Memperkenalkan kriteria pemilihan berasaskan kompetensi dan memperkukuh proses perancangan penggantian bagi pengetuad dan guru besar mulai 2013. Kementerian akan menukarkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar dari kriteria pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada kriteria yang memfokuskan kecekapan kepimpinan yang ditunjukkan. Setiap pengetua dan guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua dan guru besar. Penetapan syarat ini dijangka menyebabkan purata umur pengetua menurun, dan membolehkan mereka berkhidmat bagi tempoh yang lebih lama di setiap sekolah dan dalam sistem pendidikan secara keseluruhannya.

Kementerian juga akan memperkenalkan proses perancangan penggantian yang mengenal pasti dan melatih individu berpotensi tinggi bagi memastikan terdapat kelompok calon yang bersedia untuk berkhidmat apabila dipanggil sebaik sahaja terdapat kekosongan jawatan. Setelah mekanisme ini dilaksanakan, Kementerian akan memperluas fokus perancangan mencakupi guru penolong kanan, ketua bidang dan juga ketua panitia. 

Melaksanakan pakej kerjaya baharu bagi pengetua dan guru besar bermula pada tahun 2013, dengan lebih sokongan sekolah, perancangan kurikulum dan kokurikulum, serta lebih akauntabiliti terhadap peningkatan keberhasilan murid. Sepertimana guru, pengetua dan guru besar juga akan menerima sokongan yang lebih besar bagi membantu mereka mencapai potensi penuh, seterusnya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan keberhasilan murid yang lebih tinggi. 

Pengetua dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mendapat manfaat daripada satu program induksi baharu, yang memerlukan mereka mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang berpindah atau bersara. Mereka juga akan mengikuti suatu tempoh bimbingan dan pementoran daripada pengetua dan guru besar berpengalaman atau School Improvement Partner (SiPartner+) daerah sebaik sahaja mereka memulakan tugas baharu sebagai pengetua dan guru besar secara rasmi. 

Peluang mengikuti CPD tidak terhenti pada tahun pertama perkhidmatan sebagai pengetua dan guru besar. Malah, CPD ini akan terus menjadi sumber untuk membolehkan setiap pengetua dan guru besar memperbaharui tahap profesionalisme masing-masing. IAB juga akan memastikan peluang CPD yang sama disediakan bagi penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia. 

Pengetua dan guru besar mempunyai keanjalan untuk berkhidmat di sekolah rendah atau menengah melalui suatu laluan perkhidmatan awam yang baharu. Mereka akan ditaksir setiap tahun menggunakan satu instrumen penilaian baharu yang memberi penekanan kepada keupayaan kepimpinan dan peningkatan keberhasilan murid. Sebagaimana guru, pengetua dan guru besar berprestasi tinggi akan menikmati peluang kemajuan kerjaya yang lebih pantas. Pemberian insentif akan disemak semula bagi menggalakkan pengetua dan guru besar berprestasi tinggi untuk bertugas di kawasan luar bandar dan atau di sekolah berprestasi rendah. Pengetua dan guru besar yang mengalami kesukaran dalam mencapai standard minimum diberikan bimbingan tambahan, manakala pengetua dan guru besar yang masih gagal mencapai tahap kualiti minimum walaupun telah diberikan bimbingan tambahan akan ditugaskan semula ke jawatan guru di sekolah lain.

Semua pemimpin sekolah juga akan dipersiapkan supaya mereka dapat menggunakan sepenuhnya keanjalan membuat keputusan yang diperuntukkan kepada mereka. Keanjalan ini termasuklah perkara yang melibatkan kepimpinan instruksional seperti perancangan peningkatan sekolah, perancangan kurikulum dan kokurikulum, dan juga hal berkaitan kepimpinan pentadbiran seperti agihan peruntukan. Seperti mana guru, aspirasi bagi pemimpin sekolah adalah untuk membina budaya kecemerlangan profesionalisme yang dipimpin rakan sejawat. Pemimpin sekolah membimbing satu sama lain, membangunkan dan menyebarluaskan amalan terbaik, dan sama-sama bertanggungjawab bagi mencapai standard profesional.

 

Dalam Gelombang 1 PPPM, satu proses pemilihan baharu berdasarkan satu set kriteria baharu telah diperkenalkan bagi menambah baik proses pemilihan, pembangunan dan pengiktirafan untuk pemimpin sekolah. Kriteria baharu ini termasuklah penguatkuasaan Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (National Professional Qualication for Educational Leadership, NPQEL) sebagai kelayakan mandatori pelantikan kepimpinan sekolah. Bagi meningkatkan lagi keupayaan pemimpin sekolah, prapersediaan berterusan dan pembangunan profesionalisme telah diterajui dan dikendalikan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB). Secara langsungnya, dengan adanya calon berkelayakan serta penambah baikan dalam merancang penggantian oleh negeri, Kementerian dapat mengisi kekosongan jawatan dengan kadar yang lebih pantas. 

Berdasarkan laporan pada tahun 2013, pemimpin sekolah yang berprestasi tinggi dan komited mampu membawa perubahan dan meningkatkan keberhasilan murid serta prestasi sekolah. Kementerian akan memastikan setiap sekolah mempunyai pengetua atau guru besar dan pasukan pemimpin sekolah yang berkualiti tinggi bagi menyediakan kepimpinan pendidikan serta memacu prestasi sekolah. 

Pada tahun 2013, kementerian telah memperkenalkan Piagam Pemimpin Sekolah bagi memperkukuh kaedah pemilihan dan latihan pengetua dan guru besar. Antara aktiviti utama adalah menetapkan syarat baharu bagi pemilihan dan proses perancangan penggantian menetapkan Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) sebagai syarat wajib pemilihan pemimpin sekolah menawarkan Program Residensi dan Immersion (PRIme) untuk calon pengetua dan guru besar; dan menyediakan pembangunan professionalberterusan terbeza (differentiated) untuk pemimpin sekolah berdasarkan kompetensi dan prestasi.

Bagi tahun 2015 pula, aktiviti pelan dirancakkan dengan pelbagai usaha daripada semua pihak. Bagi pembangunan pengetua, kementerian komited dalam memastikan pemimpin berkualiti ditempatkan di setiap sekolah. Sebagai persediaan untuk memegang jawatan pemimpin sekolah, program latihan National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) telah diperkenalkan bagi menyediakan bakal pemimpin sekolah dengan kemahiran yang diperlukan untuk menerajui sekolah. 

No comments:

Post a Comment