Wednesday 2 December 2015

Strategi Bagi Menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan



Dalam usaha mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan, pelbagai langkah-langkah dan strategi telah disusun, antaranya; Penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama; Mengadakan kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama; Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan; Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu; Mendemokrasikan pendidikan; Pelaksanaan KBSR dan KBSM; Mempertingkatkan pendidikan Islam, kerohanian, moral dan disiplin; Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik; Mempelbagai kemudahan pendidikan di peringkat universiti; Pengajaran bahasa ibunda; dan Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum.
1.     Penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama
Selaras dengan matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum, bahasa Malaysia telah diiktiraf sebagai bahasa bahasa rasmi dalam segala urusan dan menjadi bahasa kebangsaan. Hal Ini telah pun termaktub dalam Seksyen 17, Akta Pendidikan 1996, yang antara lain menyatakan:
“Bahasa kebangsaan (bahasa Malaysia) hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.” (Akta Pendidikan, 1996)
Ini bermakna, walaupun sekolah terdiri dari berbagai aliran, Bahasa Malaysia dijadikan sebagai satu mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah.
2.     Mengadakan kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama
Ini dilakukan dengan menyelaraskan sukatan dan rancangan yang hendak diajar oleh guru terhadap pelajar sekolah. Sukatan ini diselaraskan tanpa mengira jenis dan kategori sekolah. Tujuan dilakukan penyelarasan ini ialah untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai tahap kemampuan dan kebolehan yang sama. Kurikulum Kebangsaan yang diselaraskan ini wajib diguna oleh semua pihak. Perkara ini telahpun disentuh dalam Seksyen 18 (1), Akta Pendidikan (1996):
“Menteri hendaklah menetapkan suatu kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan yang, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah digunakan oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.”
Selain itu, bahasa Malaysia juga dijadikan ukuran untuk menilai pencapaian yang diperolehi oleh pelajar dalam peperiksaan awam. Di peringkat pengajian tinggi, kedudukan Bahasa Malaysia juga sama dengan apa yang berlaku di sekolah. Setiap pelajar institusi pengajian tinggi wajib mengambil peperiksaan Bahasa Malaysia sebagai satu syarat untuk mendapat pengijazahan.
3.     Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan
Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang bertanggungjawab telah melaksanakan beberapa strategi yang dapat memantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan, antaranya ialah melicinkan tatacara pengurusan pendidikan dengan cara meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan. Langkah ini diambil bagi memastikan organisasi berkenaan dapat meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Aspek pengurusan ini memang banyak disentuh dalam Akta Pendidikan 1996, misalnya dalam Bab 11, Seksyen 53 berkenaan Suratcara pengelolaan bagi institusi pendidikan.
4.     Mendemokrasikan pendidikan
Usaha mendemokrasikan pendidikan telah dilakukan sekitar tahun 1980-an. Matlamatnya adalah bagi memastikan mutu pendidikan dipertingkatkan dan dengan mengagihkan peruntukan secara adil. Ini dilakukan dengan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Ini adalah selaras dengan Dasar Ekonomi Baru yang ingin menyusun semula masyarakat dengan mengurangkan jurang perbezaan peluang pendidikan antara golongan kaya dengan miskin, program sokongan pendidikan seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Televisyen Pendidikan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), asrama desa dan asrama harian, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program kesihatan dipertingkatkan.
5.     Pelaksanaan KBSR dan KBSM
Jawatankuasa kabinet yang mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dalam laporannya (1979) telah mendapati antara lain bahawa kurikulum itu digubal secara terpisah mengikut mata pelajaran dan terdapat sedikit sangat integrasi dalam mata pelajaran yang terkandung di dalamnya (Perenggan 194). Oleh itu, berdasarkan rasional tersebut, jawatankuasa kabinet memperakukan bahawa:
“Kementerian hendaklah mengambil langkah tertentu supaya pendidikan rendah bercorak pendidikan asas yang memberi penegasan kepada pendidikan dalam bidang 3M iaitu membaca, menulis dan mengira”
(Laporan Kabinet, Perakuan 2a)
Oleh yang demikian, usaha merekaraya kurikulum dibuat dan ini menyaksikan lahirnya Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan diikuti dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. KBSR dibentuk berpandukan rasional bahawa aktiviti pelajar dan pendidikan peringkat rendah adalah bercorak pendidikan asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Justeru, matlamat pendidikan adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1980).
6.     Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik
Bagi memantapkan kemahiran di kalangan para pelajar, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga turut mengambil langkah memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978. Tumpuan terhadap pemantapan pendidikan teknik dan vokasional ini dapat dilihat melalui penetapan Seksyen 35, Kurungan 1 dan 2 berkenaan Pendidikan teknik di sekolah menengah kebangsaan dan institusi pendidikan lain. Beberapa strategi yang diambil termasuklah; menyediakan latihan kemahiran; latihan khusus yang berhubungan dengan pekerjaan tertentu; dan latihan bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada.
7.     Memantapkan institusi pengajian tinggi
Bagi memastikan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, kerajaan telah mengambil beberapa langkah ke arah pencapaian matlamat tersebut, antaranya;
  • Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 – membolehkan penubuhan sebuah majlis untuk menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi;
  • Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996 – menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi;
  • Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 – memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan;
  • Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 – memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan tinggi swasta;
  • Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 2000 – membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi universiti; dan
  • Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (Pindaan) 2000 – membenarkan pinjaman kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

8.     Mempertingkatkan pendidikan Islam, kerohanian, moral dan disiplin
Mata pelajaran Pendidikan Islam diperluaskan di semua sekolah tanpa mengira jenis dan kategori. Disamping itu ianya juga menjadi mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua pelajar yang beragama Islam. Ini termaktub dalam Akta Pendidikan (1996), Seksyen 50. Manakala pelajar bukan Islam pula diberi pendidikan dari segi moral melalui Pendidikan Moral. Tujuan mata pelajaran ini diperluaskan dan menjadi mata pelajaran teras ialah untuk melahirkan insan yang percaya dan patuh kepada Tuhan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berbakti dan memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
9.     Pengajaran Bahasa Ibunda
Matlamat Sistem Pendidikan Kebangsaan antara lain ialah mewujudkan sistem pendidikan berteraskan masyarakat sendiri. Oleh itu kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan setiap masyarakat di negara ini akan dapat mengekalkan identiti kaum masing-masing bersesuaian dengan masyarakat majmuk Malaysia. Beberapa langkah yang dikenal pasti termasukla membenarkan pengajaran bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Iban, bahasa Kadazan-Dusun dan bahasa Arab di sekolah-sekolah. Langkah ini diambil supaya setiap masyarakat di negara ini akan rasa dihargai dan tidak wujud perasaan disisihkan dalam negara sendiri. Perkara ini telahpun termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan:
“….pengajaran bahasa Cina dan Bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan boleh diadakan dengam satu syarat jika ada permintaan 15 orang ibu bapa atau lebih dan jika munasabah dan praktik.” (Akta Pendidikan 1996)”
10.  Penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
Pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Negara juga menghadapi cabaran untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi. Oleh itu, KPM menyediakan program pembangunan pendidikan yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia. KPM juga meneliti semula program dan projek yang dirancang bagi penyegaran, pembaharuan, pengukuhan, penyusunan semula dan penggubalan baru. Semua ini adalah hasil perancangan yang terkandung dalam dokumen Pembangunan Pendidikan (2001-2010) KPM.
11.  Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum
Bagi memupuk disiplin di kalangan pelajar Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah menambah baik pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum di sekolah. Ini dilakukan dengan meningkatkan aktiviti pasukan pakaian seragam seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain. Selain itu, aktiviti ko-kurikulum juga diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10.00 untuk sekolah rendah dan RM12.00 untuk sekolah menengah mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005); dan aktiviti ko-kurikulum dijadikan syarat kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005).
Sebagai kesimpulan, semenjak merdeka Malaysia telah meletakkan matlamat dan landasan yang jelas untuk negara ini. Malaysia bermatlamat menjadi sebuah negara yang bermasyarakat majmuk yang bersatu padu, mengamalkan demokrasi berparlimen dan berjaya sebagai sebuah negara yang makmur dan maju. Ini semua dapat dilakukan dengan menambah baik sistem pendidikan di negara ini. Oleh itu, dalam proses mencapai semua matlamat tersebut, Malaysia seperti negara-negara lain di dunia telah menyusun strategi dan perancangan yang perlu bagi merealisasikan semua cita-cita tersebut. Strategi dan perancangan ini disusun dengan rapi oleh kerajaan yang memerintah dan ini dilakukan dengan membentuk dasar-dasar yang perlu supaya dilaksanakan demi memajukan dan memakmurkan negara secara keseluruhan.
Rujukan:
  1. 1. Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Bentong, Pahang: PTS Pub & Distributor Sdn. Bhd.
  2. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan. (2001). Pembangunan Pendidikan 2001–2010. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
  3. Colebatch H.K (2002). Policy Second dition, Buckingham, Open University Press.
  4. Fadzilah bt Abdullah (1996). Dasar pendidikan kebangsaan. As Noordeen. Kuala Lumpur.
  5. Laporan Jawatankuasa Kabinet (1984). Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.
  6. Sufean Hussin (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia. Teori dan Analisis, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.
  7. Tajul Ariffin Bin Nordin (1993). Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.
1.0 DASAR LUAR NEGARA
1.1 Definisi
Terdapat banyak definisi atau pendapat yang diutarakan oleh penulis berkenaan Dasar Luar Malaysia. Menurut Lew Hee Men, et al. (2005), Dasar Luar bermaksud “berbaik-baik dengan semua negara demi keamanan dan kesejahteraan dunia”. Menurut beliau juga, dasar luar dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu Hubungan Bilateral (hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu, dan Hubungan Multilateral (hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan). Azizi Ahmad pula memberikan definisi dasar luar sebagai polisi menjalani perhubungan antarabangsa dengan negara lain. Dasar luar merupakan tindakan yang diambil oleh pembuat dasar sesuatu kerajaan membentuk dan menyelesaikan sesuatu masalah. Ia merupakan strategi atau tindakan menghapus, mengurang, mengekal atau memperluaskan kerjasama antara negara.
Selain itu, Mohd. Nor Mat Yazid (1994) pula menyatakan, “dasar luar dapat diertikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dilakukan oleh sesebuah negara dalam usaha berhubung dengan sesebuah negara lain. Hubungan di antara sebuah negara dengan negara lain adalah perlu dan penting dalam menjaga kepentingan, keselamatan dan kemakmuran sesebuah negara”. Akhir sekali, definisi yang dikeluarkan oleh OUM adalah, Dasar luar negera merangkumi matlamat, perancangan dan tindakan yang diambil oleh sesebuah negara sehubungan dengan negara-negara lain. Dasar luar negera mengutamakan aspek tindakan yang diambil oleh sesebuah negara bagi mempengaruhi keadaan-keadaan diluar bidang kuasanya.
Berdasarkan kepada beberapa definisi yang dikemukan oleh penulis di atas, dapatlah saya rumuskan bahawa dasar luar merupakan satu dasar yang dirangka dan dilaksanakan oleh Malaysia bertujuan untuk mengadakan hubungan baik dengan negara-negara luar bagi tujuan mewujudkan dan mengekalkan keselamatan, kedamaian, keharmonian serta kesejahteraan dari aspek ekonomi, politik, sosial dan lain-lain isu yang mempunyai kepentingan-kepentingan bersama.
Menurut Azizi Ahmad, objektif utama dasar luar Malaysia adalah:
i.                 Pengiktirafan yang merujuk kepada keinginan sesebuah negara untuk diterima oleh negara lain sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat serta mempunyai sistem pentadbiran sendiri. Dasar luar ini perlu terkawal serta berjaya membawa pembangunan dan keamanan kepada rakyat.
ii.               ii. Keselamatan mempunyai hubung kait yang rapat dengan pengiktirafan. Negara perlu wujud sebagai satu kesatuan. Sesebuah negara akan dapat mempertahankan diri dari ancaman luar pada bila-bila masa walaupun terpaksa melalui kekerasan atau peperangan.
iii. Menjalinkan kerjasama dua hala erat dikalangan negara jiran dan serantau serta meningkat kerjasama di kalangan negara lain yang mempunyai matlamat yang sama.
Lew Hee Man, et. Al (2005) pula menyenaraikan beberapa objektif dan matlamat dasar luar Malaysia, iaitu:
i.                 menjamin keselamatan rakyat dan negara;
ii.               memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negara;
iii.             menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi; dan
iv.              mewujudkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsa.
Selain itu terdapat beberapa objektif dasar luar Malaysia, yang pernah dikemukakan, di antaranya ialah:
i.                 Kepentingan pengujudan kedamaian dan keharmonian adalah penting dan ini terpancar dalam dasar luar Malaysia yang merupakan kesinambungan kepada dasar dalam negeri bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan-kepentingan negara dan persekitaran.
ii.               ii. Kebanyakan pembentukan dasar luar Malaysia secara lazimnya berusaha keras bagimembantu perkembangan ekonomi dalam negeri dengan membawa masuk seberapa ramai pelabur-pelabur asing.
Meskipun terdapat sedikit perbezaan dari segi matlamat dan objektif yang dinyatakan oleh penulis di atas, kita dapat rumuskan bahawa objektif dasar luar yang paling utama adalah sama, iaitu ke arah menjaga kedamaian, keharmonian dan mengekalkan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa seterusnya berusaha memakmurkan negara jiran.
2.0 PRINSIP ASAS DAN FAKTOR-FAKTOR DALAM PEMBEMBENTUKAN DASAR LUAR MALAYSIA
2.1 Prinsip-Prinsip Asas Pembentukan Dasar Luar Malaysia
Malaysia mempunyai beberapa prinsip atau tafsiran yang menjadi panduan dalam membentuk dan melaksanakan dasar luarnya. Antara prinsip-prinsip yang diamalkan ialah, pertama, dasar luar Malaysia adalah tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain, terutamanya dalam konteks hubungan serantau. Dalam hal ini, Malaysia mendokong prinsip penyelesaian sengketa dan kewujudan bersama secara aman (non-confrontational). Prinsip ini terbukti dengan pendirian Malaysia untuk menjadi negara berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara lain dalam membuat keputusan walaupun menghadapi tekanan dari negara-negara atau kuasa-kuasa besar yang lain. Sebagai contoh menyertai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali atau Non-Alligned Movment (NAM) pada tahun 1970.
Prinsip yang kedua adalah kerana Malaysia sentiasa menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara serta terhindar daripada penindasan. Berdasarkan prinsip ini, Malaysia amat berpegang teguh dengan konsep Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kewujudan sistem antarabangsa di mana semua masyarakat di dunia ini dapat hidup dengan aman dan harmoni serta terhindar daripada penindasan. Dalam hal ini, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan memberikan sumbangan yang bermakna terhadap PBB melalui penyertaan penuh semangat dalam agensi-agensi PBB seperti UNESCO dan UNCTA D. Sebagai contoh, Malaysia telah menghantar tentera pendamai ke Congo, Afrika (Zaire) pada tahun 1960 bagi menamatkan perang saudara di sana . Malaysia juga memberikan sokongan terhadap orde baru Ekonomi Antarabangsa dan kegiatan-kegiatan Negara-Negara 77 untuk mencapai keadilan dalam sistem perdagangan yang selama ini memihak kepada negara maju sahaja.
Ketiga, Malaysia sendiri mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonominya berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini akan membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara sentiasa bergolak dengan permasalahan politik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi dan politik negara.
Keempat, Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel. Pada tahun 1989 Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM). Pertalian erat yang ditunjukkan dalam penglibatan negara Komanwel diperkukuhkan dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sukan Komanwel yang telah berlangsung pada September 1998.
Kelima, sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam agama rasmi, Malaysia telah menjalinkan hubungan yang erat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Malah, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama OIC. Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara Islam sebagai salah satu asas hubungan luarnya.
Huraian yang diberikan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada prinsip yang dijadikan asas dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia. Ini kerana dasar luar tidak berbentuk statik. Ia sentiasa berubah mengikut dasar yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin semasa.

1 comment: