Thursday, 3 December 2015

Perubahan dalam pengurusan pendidikan



Masyarakat yang maju dan saintifik adalah hasrat wawasan 2020 . Masyarakat yang maju dan saintifik sentiasa bersedia menerima perubahan untuk menjadi lebih baik. Kemajuan pula bererti berubah daripada keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik. Fikiran terbuka untuk menerima idea baru dan berubah mengikut objektif yang dikehendaki amat penting.
Agen perubahan utama ialah pendidikan. Pendidikan dan latihan merupakan wahana terpenting di dalam pembangunan sumber manusia ke arah pencapaian matlamat pembangunan negara. Pendidikan bertaraf dunia atau `world class’ akan menentukan kejayaan perubahan insan. ( mohd najib , 1997 )
Perubahan dalam pendidikan tidak dapat dielakkan. Masa dan pelbagai faktor lain menuntut perubahan dalam pendidikan. Perubahan ialah salah satu fakta yang wujud dalam pendidikan. Ada faktor luaran dan dalaman yang mendesak dan menekan untuk melakukan perubahan.
Menurut Carnall ( 1991 ) perkara yang pasti akan berlaku untuk setiap organisasi adalah perubahan. Perubahan adalah satu keperluan dan setiap organisasi pasti akan menghadapinya, mahu atau tidak mahu. Perubahan adalah agenda khas dalam pengurusan di alaf baru. Perubahan terpaksa dilakukan kerana wujudnya globalisasi, negara tanpa sempadan, peningkatan teknologi komputer dan internet di hujung jari dan persaingan antara kelompok atau negara semakin meningkat.
Pihak yang ingin membuat perubahan secara lansung akan berhadapan dengan pelbagai rintangan . Perubahan yang ingin dilakukan melibatkan pelbagai implikasi positif, implikasi negatif yang dijangka dan tidak dapat diramalkan. Sekiranya perubahan yang ingin dilakukan tidak telus, penolakan dan sabotaj akan terjadi.
Oleh itu pengurus yang berjaya perlu memahami setiap fungsi organisasi dan melihat bagaimana ianya akan berubah dan kesan sampingan daripada perubahan tersebut. Perancangan perubahan pula melibatkan rekabentuk, operasi, penggunaan teknologi dan pengurusan organisasi.

1 comment: